You are currently viewing Kajian tragedi Baling dibentang esok

Kajian tragedi Baling dibentang esok

KOTA BHARU: Kajian tragedi banjir di Baling, Kedah sudah siap dan akan dibentangkan di Dewan Rakyat, esok.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata kajian berkenaan membabitkan beberapa kementerian dan kerajaan negeri serta pakar geologi.

“Petang ini saya akan diberikan taklimat oleh jawatankuasa khas yang menyiasat peristiwa banjir kepala air di Baling, Kedah.

“Kajian ini dilakukan beberapa kementerian diketuai oleh KeTSA, kerajaan negeri dan pakar geologi. Mereka turun ke lapangan, menggunakan helikopter serta dron.

“Saya akan membentangkan hasil kajian ini di Parlimen, esok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Islah, di sini, hari ini.

Banjir di Baling pada 4 Julai lalu menjejaskan 41 kawasan dan mengorbankan tiga nyawa, termasuk seorang wanita hamil berusia 23 tahun.

Terkini, sembilan keluarga membabitkan 34 mangsa berada di dua pusat pemindahan sementara pagi ini, selepas banjir dari Sungai Baling malam tadi.

Takiyuddin berkata, banjir masih berlaku di Baling dan Kerajaan Pusat serta kerajaan negeri sedang memantau bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

Sementara itu, ketika ditanya banjir kilat yang melanda di Johor petang semalam, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, bencana yang berlaku di Johor fenomena alam dan kerajaan amat komited untuk menyelesaikan punca masalah.

“Di bawah KeTSA, kita melancarkan 100 juta tanaman pokok dalam tempoh lima tahun dalam usaha meminimumkan masalah banjir kilat,” katanya.

Hujan lebat hampir 2 jam menyebabkan banjir kilat berhampiran Wisma Perseketuan Johor, semalam. – Foto hiasan NSTP/NUR AISYAH MAZALAN