BEIJING: Tentera China mengumumkan pasukannya kini berada dalam ‘keadaan berjaga-jaga tahap tinggi’ dan akan ‘melancarkan siri tindakan ketenteraan bersasar’ sebagai tindak balas terhadap lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi, ke Taiwan.
Malah, media negara ini melaporkan China turut memanggil Duta AS di Beijing, semalam, untuk menzahirkan teguran dan bantahan atas lawatan Pelosi itu yang disifatkan sebagai amat tidak wajar.
Naib Menteri Luar China, Xie Feng, menyuarakan ‘bantahan keras’ terhadap lawatan berkenaan, dalam perbualannya dengan Duta, Nicholas Burns.
“Tindakan itu amat tidak wajar dan akibatnya adalah sangat serius. China tidak akan berdiam diri,” kata Xie menurut laporan agensi berita Xinhua.
Kunjungan Pelosi sebagai ahli politik berprofil tertinggi AS melawat Taiwan dalam tempoh 25 tahun, memburukkan lagi ketegangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu, dengan Beijing menyifatkannya sebagai satu provokasi besar.
Xie menegaskan, AS akan ‘membayar harga atas kesilapan sendiri’ dan menggesa Washington ‘segera menangani kesalahannya serta mengambil langkah praktikal bagi mengelakkan kesan buruk akibat lawatan Pelosi ke Taiwan.’
Pelosi mendarat di Taiwan, semalam, bertentangan dengan amaran berterusan daripada Beijing yang jelas berang. China menganggap Taiwan yang memiliki pentadbiran demokrasi sendiri, sebagai sebahagian daripada wilayahnya.
“Taiwan adalah milik China, dan Taiwan akan akhirnya kembali ke pangkuan tanah air. Rakyat China tidak takut kepada ‘hantu’, tekanan dan kejahatan,” kata Xie kepada Burns.
Tentera China turut mengumumkan perancangan mengadakan siri latihan ketenteraan di perairan sekitar pulau itu, bermula hari ini, termasuk ‘tembakan peluru hidup jarak jauh’ di Selat Taiwan.
Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan Taiwan dilaporkan mendakwa lebih 21 pesawat tentera China terbang memasuki zon pengenalan pertahanan udara pulau itu, semalam – kawasan lebih luas daripada ruang udara wilayahnya yang bertindih dengan sebahagian zon pertahanan udara China.
Sementara itu di Taipei, Pelosi yang sedang dalam rangka lawatan ke Asia, menegaskan bahawa beliau bersama delegasi tiba ‘secara aman ke rantau ini.’
“Kami datang dalam persahabatan ke Taiwan. Kami datang secara aman ke rantau ini,” katanya ketika mengadakan pertemuan dengan Timbalan Speaker Parlimen Taiwan, Tsai Chi-chang. – AFP