TOKYO: Nagasaki memberi penghormatan kepada mangsa serangan bom atom Amerika Syarikat (AS) yang berlaku 77 tahun lalu hari ini, dengan Datuk Bandarnya menegaskan peperangan Russia-Ukraine menunjukkan kepada dunia bahawa satu lagi serangan nuklear bukan sekadar kebimbangan sebaliknya krisis nyata pada masa ini.
Tomihisa Taue dalam ucapannya di Taman Keamanan Nagasaki berkata, senjata nuklear akan digunakan selagi ia wujud dan penghapusannya adalah satu-satunya cara untuk menyelamatkan masa depan manusia.
Beliau menegaskan, pencerobohan Russia di Ukraine dengan ancaman senjata nuklear dibuat, selepas sebulan empat negara kuasa nuklear berikrar tidak memperjuangkan perang nuklear.
“Ini menunjukkan kepada dunia bahawa penggunaan senjata nuklear bukan sekadar ancaman tidak berasas, malah krisis yang nyata hari ini.
“Kepercayaan bahawa memiliki senjata nuklear untuk pencegahan adalah fantasi semata-mata, tidak lebih daripada sekadar harapan,” katanya.
Ketika Perang Dunia Kedua, AS menjatuhkan bom atom pertama di Hisroshima pada 6 Ogos 1945, memusnahkan bandar berkenaan dan membunuh 140,000 orang.
Bom atom kedua kemudiannya dijatuhkan tiga hari kemudian di Nagasaki, mengorbankan 70,000 nyawa sebelum Jepun menyerah diri pada 15 Ogos sekali gus menamatkan Perang Dunia Kedua.
Terdahulu, pada acara itu, peserta termasuk diplomat dari negara yang memiliki senjata nuklear bertafakur pada jam 11.02 pagi, detik ketika bom terbabit meletup di bahagian selatan Jepun pada 9 Ogos 1945.
Jepun turut menyuarakan kebimbangan bahawa konflik terbabit mungkin mendorong China menjadi lebih agresif di Asia Timur dengan kerajaannya dilihat berusaha meningkatkan keupayaan serta perbelanjaan ketenteraanya.
Mengulas lanjut, Taue berkata, perbincangan mengenai pelucutan senjata nuklear tidak dipraktikkan seperti termaktub dalam Perjanjian Pemansuhan Senjata Nuklear (NPT) pada 1968 dan perjanjian itu menjadi semakin lemah.
“Kita mesti menyedari bahawa membebaskan diri daripada senjata nuklear adalah satu-satunya cara yang realistik untuk melindungi bumi dan masa depan manusia,” katanya.
Justeru, beliau menggesa kerajaan Jepun menonjolkan kepemimpinan menerusi diplomasi dan tidak bergantung kepada senjata nuklear sebagai pencegahan. – AP